Thursday, June 3, 2010

"Ana menumpang kekuatan dari antum yang ikhlas di jalan ini.."


Dalam melangkah di jalan ini, adakalanya kita terjatuh. Bangun, bangkit kembali. Kerana destinasi masih jauh. Namun, kadangkala jauh terasa "amat jauh". Sehingga tak terdaya untuk bangkit semula setelah jatuh. Sehinggakan mata mula menoleh ke jalan-jalan yang lain. Merenung dan menimbang tara baik buruk jalan-jalan yang lain. Ternyata jalan yang dilalui sekarang adalah yang terbaik berbanding jalan-jalan lain. Tetapi, apakan daya, diri ini terasa amat kelelahan. Berdiri pun tidak mampu, apakah lagi melangkah?Patutkah aku melalui jalan lain? Jalan yang lebih mudah. Sepertimana kebanyakan orang lakukan. Jangan. Jangan begitu. Jangan biarkan "kepenatan" mempengaruhi emosimu dalam membuat keputusan. Carilah kekuatan!

*****
Ikat kembali tali hubungan denganNya dengan beribadah

Iman berkadar langsung dengan hubungan kita dengan Allah. Semakin dekat kita bertaqarrub kepadaNya, semakin tinggilah iman kita. Jesteru rapatkan kembali jurang hubungan kita kepada Allah dengan banyak beribadah kepadaNya.

Terasa sukar? Nikmat beribadah tidak terasa seperti dulu? Susah nak ikhlas? Dah cuba, tapi masih gagal? Biasalah tu. Dalam keadaan futur, memang sukar untuk merasai nikmat beribadah. Ini kerana hati sedang dalam kegelapan. Perlukan masa untuk diterangi semula. Tetaplah bertaqarrub kepadaNya walaupun terpaksa memaksa diri. Buat juga walaupun terpaksa? Ya, teruskanlah walaupun terpaksa. Kerana ada benarnya keikhlasan itu hadir dari keterpaksaan.

Jauhi maksiat

Bila sakit, kita perlu makan ubat. Jangan dilupa, ada juga pantangnya. Tidak akan sembuh sakit jantung walaupun makan ubat, tetapi masih mengambil makanan berlemak secara berlebihan. Begitu juga dalam usaha kita mengeratkan kembali hubungan dengan Allah. Tiada gunanya kita beribadah namun mata masih tak terjaga, mulut pot pet sini sana mengata dan mengumandangkan kata-kata kesat, perkara-perkara lagha masih banyak dilakukan. Tentulah susah untuk merasa nikmat beribadah kalau terus dalam keadaan begini.

Tetapi hati cenderung untuk berbuat perkara sedemikian dalam keadaan. Ah, bagaimana ni? Aku tidak mampu memaksa diriku untuk ikhlas, hatiku pula cenderung untuk melakukan maksiat kepadaNya.


"Ana menumpang kekuatan dari antum yang ikhlas.."


Itulah pesanan yang aku dapat baru-baru ini. Ringkas, tapi sangat bermanfaat. Betul juga, biasanya bila kita berkumpul bersama dengan sahabat-sahabat yang juga berada di jalan ini, seolah-olah iman kita tercas kembali. Rasa bersemagat kembali apabila berdourah, berjaulah, berrehlah dan mabit bersama.

" jadi kalau antum mula rasa iman dah turun, pergilah berjumpa dengan ikhwah-ikhwah lain. Kerana di situ ada kekuatan. Dalam kalangan kita ada yang benar-benar ikhlas di jalan ini. Kata-katanya menusuk kalbu. Kadang-kadang tidak perlu bersuara pun, tetapi dengan melihat mereka sahaja, kita terasa semangat kembali. Itulah pentingnya amal jamaie. "

*******

"sesungguhnya Kami (Allah) benar-benar akan menguji kamu agar nyata pengetahuan Kami (Allah) siapakah mujahidin (orang yang berjihad) antara kamu dan yang bersabar, dan Kami (Allah) uji pula berita-berita (hal ehwal) kamu. " (Muhammad: 31)

0 comments:

Post a Comment

  © Blogger template PingooIgloo by Ourblogtemplates.com 2009

Back to TOP